Tuesday, July 08, 2008

Anak-Anak Umi

Salam

Alhamdulillah, tersampai seru juga untuk mengupdate blog. Maaf kerana sudah lama tidak hidangkan kalian dengan kisah terbaru tentang diri aku yang satu ini. Alhamdulillah, aku baik baik aja. Keluargaku begitu hendakNya, semuanya baik-baik aja. InsyaAllah aku akan pulang ke Petaling Jaya minggu ini. Rindu kepada keluarga tercinta sangat pantas menggamit perasaan aku kebelakangan ini. Mungkin kerana bebanan kerja dan macam-macam perkara yang bermain di fikiran, membuatkanku lebih ingin berada dekat di samping insan-insan tersayang, keluargaku.

Bebanan dan tuntutan kerja tidak pernah gagal memberi tekanan yang hebat. Itu adalah sesuatu yang pasti, tak mungkin tidak. Alhamdulillah, penyelidikanku semakin jelas perjalanannya. Mudah mudahan segalanya akan berjalan lancar mengikut perancangan. Perihal tugasku sebagai pendidik separuh masa, insyaAllah aku akan beri yang terbaik juga. Semuanya aku gelarkan sebagai anak-anak. Anak-anak umi =)

Bercakap tentang anak-anakku yang berpuluh puluh itu. Cukup aku katakan kehadiran mereka dan gelagat mereka memang benar-benar menghiburkan aku. Tidak pernah aku sangka dan bayangkan, bahawa satu hari nanti aku akan dikelilingi kekanak riang yang layak aku gelarkan adik (atau anak barangkali). Sejak kecil, aku selalu merasakan aku ini tidak mesra kanak-kanak. Kerana hakikatnya aku ini anak bongsu. Tidak punya adik. Hampir mempunyai seorang adik, tetapi bukan rezeki keluargaku barangkali. Aku tak pernah kategorikan diri aku ni mesra kanak-kanak. Sekiranya bertemu sepupu (askar-askar kecil), mereka lebih mesra dengan kakak dan abangku. Aku lebih dikenali sebagai "kakak yang tidak best". Mungkin waktu itu aku muda belia, tidak berapa tahu untuk melayan kanak-kanak. Hinggakan aku percaya, yang aku ini tidak mesra kanak-kanak. Kadangkala ada juga keinginan untuk bemesra dengan cousin yang kecil kecil itu, tetapi terasa janggal. Kerana selama ini, aku dikenali sebagai seorang yang tidak mesra dengan mereka. Perubahan yang satu ini akan menampakkan suasana yang agak pelik, tidak normal.

Manusia itu berubah berkadaran dengan masa. Begitu juga aku. Semakin lama, aku dapati diri aku menjadi semakin cenderung untuk libatkan diri dengan kanak-kanak kecil. Aku seronok melihat mereka, aku mahu libatkan diri dengan mereka. Bermain main, bergurau gurau, bercerita dengan mereka. Mungkin ini dikatakan naluri seorang wanita. Perasaan ini hadir tanpa perlu ada sebab. Kini segala dah berubah. Di tempat mengajar, aku dapati hampir kesemua pelajar sangat menyenangi ku. Terutamanya anak-anakku yang berada di darjah tiga dan empat. Awalnya aku khuatir aku tidak mampu melayan kerenah mereka, ternyata silap. Alhamdulillah, kami saling menerima antara satu sama lain dengan baik. Setiap kali mengajar anak-anak ini, terdetik perasaan, aku tidak sabar untuk mendidik dan mengajar anak aku sendiri. Sangat indah melihat mereka membesar dan berkembang di depan mata. Perasaan puas mengisi ruang diri bila mendapati anak-anak itu mempelajari sesuatu serta menumpukan perhatian dengan penuh minat apabila aku menyampaikan cerita dan ilmu.

Aku mendoakan kejayaan anak-anakku setiap masa. Mohon dipermudahkan kefahamannya, agar menjadi cerdik, dan menjadi anak-anak yang membanggakan kedua ibu bapanya. Pun begitu, pernah juga aku begitu tertekan dengan sikap beberapa anak-anak itu. Pernah juga aku menegur dan mengeraskan suara, lahirkan rasa kecewa terhadap mereka. Mungkin kerana aku sudah mengambil berat tentang diri mereka. Mungkin kerana mereka kini telah menjadi sebahagian daripada insan-insan yang mewarnai hidup aku. Atau mungkin aku sebenarnya sudah terlanjur sayang kepada anak-anak ku itu. Aku pasti, aku menyayangi mereka =)

Ada yang bertanya, adakah aku akan berada di situ sampai bila bila untuk mengajar mereka. Aku cuma senyum. Dalam kepalaku, cuma ada jawapan, yang aku sendiri pun tidak berapa pasti. Ditakdirkan aku lebih lama disitu dan berkhidmat menyumbangkan ilmu dan kasih sayang, insyaAllah, pasti aku lakukan dengan hati yang terbuka. Sekiranya ditakdirkan untuk sementara cuma, pun aku terima dengan hati yang terbuka. Yang nyata, pengalaman ini menjadikan aku lebih mengenali diri aku dan lebih bahagia di samping anak-anak itu.Alhamdulillah. Mudah mudahan, pengalaman ini juga dapat membantu aku untuk mempersiapkan diri menjadi seorang umi yang ideal, baik dari segi penyampaian ilmu, nasihat dan juga psikologi dalam komunikasi dengan kanak-kanak. Amin.

Semoga Allah SWT sentiada memberi aku kekuatan untuk sentiasa mendidik anak-anak ini dengar sabar dan tekun. Amin.

Salam sayang dari umi =)